Assalamualaikum.
Lama tak menaip di blog. Lama-lama dirasakan skil mengarang ayat semakin hilang. Mana taknya budaya copy paste semakin menjadi-jadi.
Kadang-kadang sakit juga hati. Penat kita mengarang post tentang takaful di Facebook, merata-rata orang copy & paste, entah siapa pula pun aku sendiri tak kenal. Tapi itulah yang terjadi sekarang. Kadang-kadang kita pun terjangkit penyakit meniru macam tu atas alasan meniaga. Sah atau tidak, tepuk dada tanyalah selera.
Tapi paling berbahaya budaya menyalin bulat-bulat tulisan orang padaku akan melembapkan otak & kurang daya kreatif. Jadi jangan salahkan anak jika ketandusan idea menulis karangan, jika ibu & ayahnya juga suka plagiat di media sosial.
Hari ni hari ke 59 Malaysia diarahkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat. Macam tak sangka, sepanjang hampir 38 aku hidup, akan merasakan situasi macam ni. Wabak Covid-19 tiba-tiba melanda satu dunia. khabarnya berpunca dari daerah di Wuhan. Akibat dunia tanpa sempadan, manusia bergerak dari satu negara ke satu negara dengan mudahnya, satu dunia diancam wabak ini.
Virus ini bergerak melalui sentuhan dan pakar juga meyakini ianya berjangkit apabila kita berada dalam persekitaran udara yang sama dengan mereka yang sudah dijangkiti Covid-19.
Perubahan demi perubahan diarahkan oleh kerajaan untuk memastikan wabak ini tidak merebak dengan pesatnya. Bukan niat aku untuk bercerita dengan lengkapnya tentang PKP dan Covid-19 di sini. Mungkin kalian boleh semak di mana-mana laman web lain yang ada memuatkan info yang lengkap tentang isu ini.
Cumanya padaku ada hikmah yang sangat besar PKP yang diarahkan oleh kerajaan pada masa yang sama bulan Ramadhan tahun ini. Tahun ini sangat istimewa bila mana penghayatannya sangat mendalam ku rasakan. Aku dapat bertadarus secara online setiap subuh bersama kawan-kawan rapat dari sekolah menengah, di waktu malam dapat bertarawih berimamkan suami dan setiap waktu solat dapat pula menghabiskan beberapa helai muka surat Al-Quran untuk bacaan peribadi. Anak-anak pula lebih rileks berpuasa, solat tanpa perlu disuruh dan nampak mereka lebih seronok berpuasa tahun ini. Memanglah kan, tanpa perlu juggling masa untuk bersekolah dan berpuasa, sesuatu yang sangat bermakna buat mereka.
Kata Ustaz Abdullah Bukhari dalam ebooknya
Kisah Malaysia Berkurung, hikmah Covid-19 ini adalah bukti kasih sayang Allah pada hambanNya dapat dirasakan. Bertepatan dengan Firman Allah:
Hari ini sudah masuk 10 malam terakhr Ramadhan. Semoga aku dan keluargaku dapat memanfaatkan saki baki Ramadhan yang tinggal sebaiknya.!
Antara doa yang wajar diamalkan seperti mana yang disaran oleh seorang guru di FB (Musa bin Mu hamad)
Sudahkah anda membuat senarai doa yang mahu anda pohon kepada Allah?
1. Ya Allah, Kurniakanlah padaku Kejayaan terbesar - selamat dari api neraka dan masuk ke Syurga Firdaus.
2. Ya Allah, Masukkanlah aku dan keluargaku dalam golongan yang beriman, yang menerima kitab amal di tangan kanan kami.
3. Ya Allah, Kurniakanlah padaku kematian yang diberkati. Izinkan aku mengucapkan syahadah sebelum aku menghembuskan nafas terakhir. Kurniakanlah padaku syafaat Rasulullah (SAW).
4. Ya Allah, Masukkanlah aku dalam kalangan Rasulullah (SAW), keluarganya dan para sahabat di Syurga Firdaus.
5. Ya Allah, Selamatkanlah rakan-rakan bukan Islam ku dari neraka. Kurniakan mereka hidayah Islam.
6. Ya Allah, Satukan aku dalam Syurga Firdaus dengan orang-orang yang aku sayangi semata-mata keranaMu.
7 Ya Rabb, Sempurnakan agamaku dan ibadatku. Selamatkan aku daripada kejahatan dan izinkan aku menyempurnakan sebahagian daripada agamaku.
8. Ya Allah, Terimalah amalan baikku dan tingkatkan pahala dan rahmat untukku. Padamkan dosa-dosaku dan ampunkan aku sepenuhnya. Limpahi rahmatMu untukku dan selamatkanlah aku dari kehinaan pada hari hitungan amal.
9. Ya Allah, Apabila aku mati, biarlah jiwaku dan rekod amalanku menjadi amalan tertinggi
10. Ya Allah, Kurniakan aku, ibu bapaku, keluarga dan anak-anakku bimbingan, ketabahan dan peningkatan Iman.
11 Ya Allah, Masukkan aku dalam golongan yang Engkau lindungi, mendapat pengampunan Mu dan mendapat naungan pada hari ketika tidak ada naungan selain dari ArashMu.
12. Oh Tuhanku, tingkatkan keyakinan dan tawakkalku padaMu. Janganlah ada keraguan dalam kepercayaanku dalam keesaanMu, kehebatanMu dan kekuasaanMu.
13. Ya Allah, Tingkatkanlah kecintaanku untuk Mu dan NabiMu (SAW).
14. Ya Allah, Ampunilah aku dan tingkatkanlah kurnian Rahmat dan RezekiMu.
15. Ya Allah, Berilah aku lebih banyak peluang untuk berbuat baik dan mendapat keredhaanmu.
16. Ya Allah Ya Rabb, Sucikan niatku hanya untukMu semata dan lindungi aku dari menunjuk-nunjuk atau kebanggaan palsu. Selamatkan aku dari sifat angkuh, sombong, menunjuk nunjuk dan mengungkit ungkit nikmat.
17. Oh Penciptaku dan Tuhanku, Jangan biarkan aku sendirian. Berkati aku dengan pasangan yang sesuai dan anak-anak yang akan menjadi penyejuk mataku.
18. Oh Tuhanku, Jadikanlah aku dari orang-orang yang sabar dan patuh kepadaMu dan kepada ibu bapaku.
19. Selamatkanlah aku dari Fitnah Dajjal.
20. Selamatkanlah aku dari azab kubur dan azab api neraka.
21. Ya Allah, Tingkatkanlah usahaku dalam kerja-kerja Sadakatul Jariah.
22. Ya Allah, Berkati hidupku dengan kesihatan yang baik, agar aku dapat bersujud padamu dengan mudah sehingga akhir hayatku.
23. Ya Allah, Lindungi aku dan seluruh umat Islam dalam menentang penindas-penindas yang zalim. Selamatkan kami dari fitnah dan permudahkanlah bagi kami mengharungi zaman yang sukar ini.
24. Tuhanku, Berkati hidupku dengan yang terbaik di dunia ini, yang terbaik di akhirat nanti dan selamatkanlah aku dari api neraka. Sesungguhnya aku memang memerlukan kurniaan dariMu Ya Allah.
25. Ya Allah, Tingkatkanlah kesyukuranku semata-mata kepadaMu.
26. Ya Rabb, Selamatkan aku dari kemunafikan.
27. Ya Allah, Izinkan aku dan suamiku menjadi antara jemaah menunaikan Haji sebelum kami dijemput olehMu.
28. Ya Allah, Lindungi kami dari syaitan, jin dan arak. Lindungi kami dari perbuatan jahat dan niat mereka.
29. Ya Allah, Ampuni dan berilah rahmat kepada ibu bapa kami, kerana mereka menjaga kami ketika kami masih kecil.
30. Ya Allah, Aku berdoa dan memohon daripadamu untuk mengurniakan bimbingan kepada pemuda dan umat Islam. Selamatkan kami semua dari kufur, putus asa, salah laku dan syirik.
31. Ya Allah, Berikan aku kekuatan untuk melawan kemalasan dan tidur, semoga aku dapat bangun untuk tahajjud dan solat subuh setiap hari.